Lawatan Kerja Ketua Pengarah Perikanan Malaysia ke Wee Fishery Farm

Lawatan Kerja YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia ke Wee Fishery Farm yang terletak di Kg. Pasir Gogok, Kota Tinggi Johor. Wee Fishery Farm yang diusahakan oleh En Liew Ni Wee menjalankan aktiviti pembiakan dan pembenihan ikan marin seperti Siakap, Merah dan Giant Trevally. Jumlah pengeluaran telur ikan marin yang dihasilkan pada tahun 2024 sebanyak 954 juta biji telur yang mendapat permintaan daripada nurseri ikan marin daripada dalam dan juga luar Johor. Wee Fishery Farm juga mengusahakan sangkar ikan marin yang berkeluasan 3200 meter persegi yang digunakan untuk ternakan ikan marin spesis jenahak, merah dan kerapu serta untuk menyimpan induk-induk ikan marin yang digunakan untuk tujuan pembenihan. Proses pembenihan dilaksanakan di sangkar dan telur-telur dihasilkan akan dipindahkan ke premis di darat untuk diasuh sementara dibekalkan. Turut mengiringi lawatan ini ialah Puan Noor Hasmayana binti Yahya Ketua Cawangan Akuakultur Marin, Bahagian Akuakultur Ibu Pejabat Perikanan Putrjaya serta pegawai-pegawai dan kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Johor.
Majlis Penganugerahan Organisasi Konservasi, Mission Blue Award 2025

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) berbesar hati menyokong Majlis Penganugerahan Organisasi Konservasi, Mission Blue Award 2025, yang diadakan sempena Ekspo Diving, Resort & Travel (DRT) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Anugerah ini diberikan kepada tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi mereka dalam pemuliharaan ekosistem marin di Malaysia. Majlis ini disempurnakan oleh YBrs. Puan Yeo Moi Eim, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF, yang menekankan peranan penting NGO dalam menjalankan promosi advokasi, meningkatkan kesedaran masyarakat, serta memantau ekosistem marin secara berterusan. Ekspo Diving, Resort & Travel (DRT) 2025, yang berlangsung dari 21 hingga 23 Februari 2025, menjadi platform penting dalam menghimpunkan pakar industri, penyelam, penggiat ekopelancongan, serta pencinta alam sekitar. Turut hadir, Encik Pang Anak Nyukang, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan serta pegawai perikanan ibu pejabat.
Sesi Perjumpaan Setiausaha Politik Kepada YAB Perdana Menteri Bersama YBhg. Dato’ Ketua Pengarah Perikanan Malaysia

Satu perjumpaan antara Tuan Chan Ming Kai, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri bersama YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia telah diadakan pada 21 Februari 2025 bertempat di Pejabat Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. Sesi perjumpaan ini bertujuan membincangkan tentang sektor perikanan negara terutamanya melibatkan urusan pelesenan vesel-vesel penangkapan ikan serta meningkatkan pengeluaran perikanan tangkapan negara agar berupaya menjamin sekuriti makanan dalam negara. Hadir sama YBrs. Puan Yeo Moi Eim Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) , YBrs. Tuan Haji Bakri bin Miswan, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan, Encik Norazri bin Ismail, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Kejuruteraan, Yang Arif Puan Suhana binti Mohd, Penasihat Undang-Undang dan pegawai-pegawai Jabatan Perikanan Malaysia.
Sesi Temu Sua Ketua Setiausaha KPKM bersama Pemain Industri Akuakultur Marin

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah menganjurkan satu sesi temu sua bersama pemain industri akuakultur marin sebagai medium komunikasi yang berkesan di antara pemain industri dengan pihak jabatan. Sesi tersebut, yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), berjaya menarik penyertaan 78 individu terdiri daripada wakil persatuan, syarikat, pengimport & pengeksport yang telah berkongsi pandangan, cadangan, serta maklum balas bagi menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh industri ini. Ahli panel sesi temu sua ialah YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, YBrs. Encik Shamsul Akbar bin Sulaiman Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), YBrs.Puan Rashima Binti Baharuddin Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan YBrs.Ts. Mahamad Sukor bin Senapi Pengarah (Pematuhan dan Pembangunan Industri) Kementerian Kesihatan Malaysia. Hadir sama YBrs. Puan Yeo Moi Eim Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) , YBhg Dato’ Haji Azahari bin Haji Othman Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan) dan kakitangan Jabatan Perikanan Malaysia.
Temui kami Jabatan Perikanan Malaysia di Expo Pertanian 2025

Ekspo Pertanian 2025 yang berlangsung dari 20 hingga 22 Februari 2025 di Dewan A, MAEPS, Serdang, Selangor membawa pelbagai inovasi, peluang perniagaan dan seminar eksklusif . Ekspo ini merupakan platform terbaik untuk penggiat industri pertanian, usahawan, penternak akuakultur dan orang awam mendapatkan maklumat terkini mengenai teknologi serta inovasi dalam sektor pertanian. Jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi reruai Jabatan Perikanan di Ekspo Pakar Pertanian dan dapatkan maklumat berguna bagi meningkatkan hasil perikanan anda.
Majlis Pelancaran Perkhidmatan Logistik Ninja Cold

YB Tuan Anthony Loke, Menteri Pengangkutan Malaysia telah merasmikan majlis pelancaran perkhidmatan logistik Ninja Cold dari Ninja Van Malaysia yang merupakan perkhidmatan penghantaran makanan sejuk beku seluruh Malaysia. Bagi memperluaskan pasaran produk sejuk beku ini, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) turut menyokong pelancaran Perkhidmatan Logistik Ninja Cold ini dalam memastikan penghantaran yang efisien, sekali gus mengekalkan kesegaran dan kualiti produk usahawan IAT. Inisiatif ini memberi kelebihan kepada usahawan dalam mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran yang lebih luas dengan sistem pengangkutan yang lebih cekap dan terkawal. Turut hadir pada majlis ini, Mr. Lin Zheng, Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia serta Puan Noraisyah binti Abu Bakar, Pengarah Perikanan Negeri Selangor.
Lawatan Kerja YB Datuk Seri Mohamad Sabu Ke Pulau Payar

YB Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, telah mengadakan lawatan kerja ke Pulau Payar bersama pengurusan tertinggi Kementerian bagi meninjau status terkini pemuliharaan terumbu karang sertaperkembangan aktiviti pemuliharaan dan konservasi marin di kawasan Taman Laut. Dalam lawatan ini, YB Menteri telah menyempurnakan upacara simbolik restorasi karang sebagai tanda bahawa aktiviti pemuliharaan dan restorasi karang kini dibenarkan kembali dijalankan setelah dihentikan sementara sejak 2 Julai 2024 berikutan fenomena kelunturan karang yangmelanda perairan negara. Pada majlis yang sama, YB Menteri turut menyempurnakan pelepasan benih gamat sebanyak 120 ekor sebagai sebahagian daripada langkah pemuliharaan spesies marin berharga ini. Benih gamat yang dilepaskan terdiri daripada spesies Stichopus sp. atau lebih dikenali sebagai gamat emas, yang berusia 120 hari dengan berat antara 3-10 gram dan panjang 2-10 cm. Benih ini telah dihasilkan melalui pembenihan di Pusat Penyelidikan Marikultur Langkawi. Sebagai tambahan, Jabatan Perikanan Malaysia turut memberi bantuan alat keselamatan kepada 7 operator pelancongan di Pulau Payar sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka dalam menjaga ekosistem marin. Bantuan ini merangkumi jaket keselamatan, pelampung keselamatan (life buoy), dan alat pemadam api. Turut hadir sama pada lawatan ini, YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Datuk Seri Isham Bin Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Datuk Azah Hanim Binti , Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Dato’ Haji Adnan Bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, pengurusan tertinggi KPKM, pengurusan tertinggi jabatan serta pegawai-pegawai jabatan.
Kunjungan Hormat daripada Kementerian Pertanian Uzbekistan ke Jabatan Pertanian Malaysia sempena Lawatan Rasmi TYT Shavkat Mirziyovev, President Uzbekistan ke Malaysia

Satu perjumpaan antara Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dengan delegasi Uzbekistan yang terdiri daripada Kementerian Pertanian Uzbekistan, Government of Tashkent Province dan Government of Kashkadarya Province telah diadakan pada 5 Februari 2025. Kunjungan ini diadakan sempena program Lawatan Rasmi TYT Shavkat Mirziyoyev, Presiden Uzbekistan ke Malaysia yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 Februari 2025. Sesi perjumpaan ini bertujuan membincangkan potensi kerjasama antara dua negara khususnya dalam bidang akuakultur dan penyelidikan. Delegasi Malaysia yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain turut disertai oleh YBrs Dr. Akma binti Ngah Hamid, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, YBhg Dato’ Haji Azahari bin Haji Othman, Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur, Puan Yeo Moi Eim, Pengarah Kanan Bahagian Biosekuriti Perikanan, Encik Nazri bin Ishak, Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik dan Wakil daripada KPKM, manakala YBrs. Dr. Azhar Bin Hamzah Pengarah Kanan Institut Penyelidikan Perikanan turut hadir secara dalam talian.
34,500 Benih Ikan Air Tawar dilepaskan ke Perairan Sungai Pahang

YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia telah menyempurnakan Program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Sungai Pahang. Sebanyak 34,500 ekor benih ikan iaitu 10,000 ekor ikan terbul, 500 ekor ikan patin buah dan 24,000 ekor lampam sungai berjumlah RM16,500 yang disumbangkan oleh Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Pahang dilepaskan. Ketua Pengarah Perikanan Malaysia turut mengadakan sesi libat urus bersama Pengurus Besar Jaman Tory Marketing, En. Atta bin Ahmad. Jaman Tory Marketing merupakan usahawan yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia di bawah Program myAgropreneur Perikanan (myAP). Jaman Tory Terapung di Bera merupakan restoran ketiga yang dimiliki oleh usahawan ini. Restoran ini menyajikan menu tradisi Negeri Pahang sebagai sajian utama seperti ikan patin tempoyak, turut menyediakan menu-menu masakan kampung yang lain, antara pembuka selera adalah Ikan Pekasam, Ikan Mungkus, serta sambal dan ulam yang segar-segar. Hadir sama YBhg Dato’ Haji Azahari bin Haji Othman, Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur, Encik Abdullah bin Jaafar, Pengarah Perikanan Negeri Pahang dan pegawai serta kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Pahang & Ibu Pejabat Perikanan. Semoga perniagaan ini berkembang maju.
32, 000 Benih Udang Galah dilepaskan ke Perairan Sungai Belat

Pada pagi ini, telah berlangsung program Pelepasan Benih Udang Galah di sungai belat, Kuantan oleh YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. Sebanyak 32,000 ribu benih udang galah yang disumbangkan oleh Pusat Penetasan Udang Galah Kg. Acheh, Sitiawan, Perak. Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah melaksanakan program pelepasan lebih 21 juta ekor benih udang galah ke perairan sungai bernilai RM2.35 juta dari tahun 2021 hingga 2024. Di negeri Pahang. sahaja, sebanyak 1.7 juta ekor benih udang galah telah dilepaskan ke sungai-sungai utama sepanjang tempoh tersebut, memberikan manfaat besar kepada komuniti nelayan darat tempatan dan menyokong pemuliharaan ekosistem. Hadir sama YBhg Dato’ Haji Azahari bin Haji Othman Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur, Encik Abdullah bin Jaafar Pengarah Perikanan Negeri Pahang dan kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Pahang serta Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Kuantan, Pahang.