NAFEC 2025 Agro Teknologi Pemacu Pengeluaran Makanan Negara

YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah menyermpurnakan majlis perasmian Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2025 yang dianjurkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia DOF) dengan Kerjasama Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan (MSAE) di Dewan Serbaguna Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKPM), Putrajaya pada hari ini. Dalam ucapan beliau menekankan keperluan segera untuk melaksanakan transformasi sektor pertanian dan agromakanan secara menyeluruh melalui adaptasi teknologi moden dan pintar seperti automasi, mekanisasi, Internet Benda (IoT), dan bioteknologi bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing. Konvensyen yang bertemakan “Agro Teknologi Pemacu Pengeluaran Makanan Negara” ini telah menghimpunkan lebih 180 pemain industri, penyelidik, pembuat dasar serta ahli akademik bagi membincangkan hala tuju teknologi dan inovasi dalam menjamin keterjaminan makanan negara mampan dan berdaya tahan. Program ini menjadi platform strategik untuk memperkukuh kolaborasi antara sektor awam, swasta dan institusi pengajian tinggi dalam memperkasakan kejuruteraan pertanian dan makanan. Turut Hadir sama YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Puan Yeo Moi Eim Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Prof. Ts. Dr. Rosnah binti Shamsudin Presiden Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan (MSAE) dan kakitangan Jabatan Perikanan Malaysia.
Lawatan Kerja Ketua Pengarah Perikanan Malaysia ke Borneo Empurau Farm & Resort

YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain telah mengadakan lawatan kerja ke Borneo Empurau Farm & Resort — pusat akuakultur dan agro-pelancongan berkonsepkan alam semula jadi yang terletak di Serian. Disambut oleh pemilik, YBhg. Dato’ Dr. Yong Fook Heng & YBhg. Datin Alice, lawatan ini meliputi:🐟 Sistem akuaponik ikan empurau🐾 Mini Zoo interaktif Borneo Empurau Farm yang diasaskan sejak 2015 kini dikenali sebagai pengeluar benih empurau berkualiti tinggi, lengkap dengan pensijilan MyGAP & HACCP, serta menjadi pembekal utama ke restoran-restoran di Sarawak. Turut hadir, YBrs. En. Abdul Rahman bin Abdul Wahab, Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak serta pegawai-pegawai dari Ibu Pejabat dan negeri.
Program Rasa-Rasa Akuakultur Dan Karnival MyAP/MyKP Sarawak Galak Pembangunan Industri Perikanan Tempatan Secara Lestari

Jabatan Perikanan Laut Sarawak telah menganjurkan Program Rasa-Rasa Akuakultur dan Karnival myAgropreneur Perikanan (myAP)/myKomuniti Perikanan (myKP) bertemakan “Perikanan Lestari, Sajian Terjamin” bertempat di Majma Mall, Kuching. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ Haji Adnan bin Hussain. Penganjuran program ini bertujuan memperkenalkan produk-produk akuakultur marin dan hasil hiliran perikanan tempatan, di samping menjadi platform strategik untuk memperluas jaringan pasaran serta memperkasa penyertaan usahawan dan komuniti nelayan dalam rantaian nilai industri perikanan. Sempena majlis ini, seramai 12 penerima SpeKS dan tiga Ketua Jaringan Perikanan turut menerima cek cura dan peralatan GPS sebagai penghargaan atas sumbangan mereka dalam memajukan sektor perikanan di peringkat akar umbi. Dalam majlis yang sama turut diadakan pelancaran buku tukun tiruan bertajuk “SATU – Sarawak Artificial reefs Trailblazing Underwater” sebagai simbol komitmen Jabatan dalam pemuliharaan marin yang bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke 14 : Life Below Water. Pemasangan tukun tiruan bukan sahaja membantu memulihkan habitat laut dan memelihara biodiversiti, malah menyumbang kepada kelangsungan sumber pendapatan komuniti nelayan. Turut hadir dalam majlis ini ialah YBrs Encik Abdul Rahman bin Abdul Wahab, Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak, YBrs EncikJamil bin Musel, Pengarah Institut Penyelidikan Perikanan Sarawak dan Labuan, YBrs. Puan Rosmawati binti Ghazali, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur serta pegawai-pegawai Perikanan Ibu Pejabat, Negeri dan Daerah.
Perhimpunan Bulanan & Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan 2025

Warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkumpul dalam suasana penuh muhibah sempena Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri. Majlis ini bukan sahaja memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan warga kementerian, malah mempererat silaturahim sempena bulan Syawal yang mulia. Lebih 2,000 warga kementerian memeriahkan majlis yang berlangsung serentak dengan perhimpunan bulanan Kementerian. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Tuan Haji Mohamad Sabu, yang menyampaikan amanat penting kepada seluruh warga Kementerian. Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah dinobatkan sebagai Pemenang Reruai Tercantik, melalui persembahan reruai bertemakan RUSTIK yang mengenengahkan elemen semulajadi, klasik, lusuh dan kasual. Tema ini dipilih kerana ianya lebih dekat dengan konsep hari raya di Malaysia itu sendiri yang secara turun temurun cenderung ke arah mengenang asal usul atau dalam erti kata lain lebih ke arah tradisional sekaligus menyerlahkan keindahan warisan budaya tempatan dalam suasana sambutan Syawal.
Program Memasak dan Agihan Bubur Lambuk Sempena Bulan Ramadhan Tahun 2025

Alhamdulillah, satu program yang penuh bermakna telah berlangsung di ibu pejabat Jabatan Perikanan Malaysia. Program Memasak dan Agihan Bubur Lambuk yang dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Modal Insan (BPMI), dengan kerjasama PUSPANITA dan KESUSIP, telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Bubur lambuk yang dimasak dengan penuh kasih sayang ini telah diagihkan oleh YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia kepada semua kakitangan Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Malaysia. Semoga program ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, tetapi juga dapat berkongsi rezeki serta memberi keberkatan di bulan Ramadhan yang mulia. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga segala amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT. 🌙✨
Kunjungan Hormat Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM ke Jabatan Perikanan Malaysia

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), YBhg. Mej Jen Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, di Wisma Tani. Kunjungan ini bertujuan membincangkan hala tuju kerjasama strategik antara JHEV ATM dan DOF, khususnya dalam memperkasa kebolehpasaran veteran ATM dalam sektor perikanan. Antara inisiatif yang dibincangkan termasuk penawaran kursus teknikal dalam pelbagai program anjuran DOF di seluruh negara, pelaksanaan program latihan berkaitan industri perikanan bagi meningkatkan kemahiran dan keusahawanan veteran ATM, serta penyediaan peluang pekerjaan kepada veteran ATM yang berkelayakan, khususnya dalam sektor akuakultur. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Haji Azahari bin Haji Othman, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan), serta turut dihadiri pegawai-pegawai kanan DOF. Kerjasama ini mencerminkan komitmen DOF dalam menyokong pembangunan modal insan, sekali gus memberi nilai tambah kepada industri perikanan negara.
Lawatan Kerja Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ke Projek Kapal Latihan Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (KPSN)

YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengadakan Lawatan Kerja dan dan mempengerusikan mesyuarat pemantauan bagi Projek Perkhidmatan Merekabentuk, Membina, Menguji dan Mentauliah Kapal Latihan untuk Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (KPSN) di MSET Shipbuilding Corporation Sdn. Bhd., Kuala Terengganu. Lawatan kerja dan mesyuarat ini diadakan adalah bertujuan untuk memantau status pelaksanaan projek sedia ada dan membincangkan isu-isu yang berbangkit semasa projek ini berjalan. Turut hadir dalam lawatan kerja ini ialah YBhg Dato’ Haji Adnan bin Hussain l, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Pn. Hizatul Haliza Binti Hashim, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian KPKM, Puan Misjijah binti Marul, Setiausaha Bahagian Kewangan KPKM, Puan Norul Fahiezah binti Salehuddin, Pengarah Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (KPSN) dan pegawai-pegawai kanan dari KPKM dan Jabatan Perikanan Malaysia.\
Sesi Libat Urus Bersama Komuniti Nelayan Zon Pantai Barat

YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia telah hadir ke Sesi Libat Urus bersama Komuniti Nelayan Zon Pantai Barat di Dewan Dato’ Lope Hashim, Bagan Datuk, Perak yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Sesi libat urus ini bertujuan untuk berkongsi pandangan dan berbincang mengenai isu-isu berbangkit bagi memastikan pembangunan sektor ini seiring dengan pemodenan sektor perikanan. Sesi libat urus yang melibatkan komuniti nelayan dari Negeri Sembilan, Selangor dan Perak telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi Timbalan Perdana Menteri Malaysia 1 merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk. YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain juga dilantik sebagai panel sesi libat urus ini bersama YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha KPKM dab YBrs. Encik Hamdan bin Mamat Ketua Pengarah LKIM. Turut hadir dalam sesi libat urus ini YBrs. Encik Ruzaidi bin Mamat, Pengarah Kanan Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan, Tuan Haji Mohd Ghazali bin A. Manap Pengarah Perikanan Negeri Perak, Puan Noraisyah Binti Abu Bakar Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Encik Kasim Bin Tawe Pengarah Perikanan Negeri Sembilan serta pegawai dan kakitangan Jabatan Perikanan Malaysia.
Mesyuarat Terhimpun Puspanita Jabatan Perikanan Malaysia Kali ke-14

PUSPANITA Cawangan Kecil Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah mengadakan Mesyuarat Terhimpun PUSPANITA kali ke-41 di Dewan Arowana hari ini. Mesyuarat ini telah dirasmi dan dipengerusikan oleh YBhg. Datin Hajah Yusaniza binti Md. Yunus, Pengerusi PUSPANITA Jabatan Perikanan Malaysia (DOF). Mesyuarat ini diadakan bagi membentangkan Laporan Program dan Aktiviti PUSPANITA DOF tahun 2024, Laporan Kewangan PUSPANITA DOF tahun 2024 dan Perancangan Program dan Aktiviti PUSPANITA DOF tahun 2025. Hadir sama YBrs. Puan Yeo Moi Eim, Timbalan Pengerusi I dan YBhg. Datin Hajah Roslija binti Hashim Timbalan Pengerusi II PUSPANITA DOF.
Program Pembangunan Profil Kompetensi Kepimpinan Gred G12 Jabatan Perikanan Malaysia

Jabatan Perikanan Malaysia melalui Bahagian Pembangunan Modal Insan telah melaksanakan Program Pembangunan Profil Kompetensi Kepimpinan Gred G12 Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama pihak Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di bawah Program Penilaian Kepimpinan Strategik (PPKS) telah membangunkan profil kompetensi yang lengkap merangkumi 4 elemen utama iaitu Profil Peribadi (Curriculum Vitae,CV), Ujian Psikometrik, Penilaian Bahasa Inggeris dan Temuduga Kompetensi Kepimpinan menggunakan modul E-LEAP (Executive Leadership Assessment Programme). Program ini adalah satu program khusus yang dibangunkan bagi tujuan mengenal pasti pegawai-pegawai yang telah memenuhi kriteria dan kompetensi yang telah ditetapkan terutama dari segi kualiti kepimpinan. Seramai 30 orang Pegawai Perikanan Kanan dari Gred G12 dari telah menghadiri Program ini berlangsung pada 25 hingga 27 Februari 2025 yang lalu di Institut Semarak Felda, Bangi.