Majlis Lambaian Kasih, Budi Disanjung Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan

Seluruh warga Jabatan Perikanan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBrs. Tuan Haji Wan Muhammad Aznan bin Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia (Pengurusan) atas segala jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan. Dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh Tuan Haji adalah inspirasi kepada semua warga jabatan dan telah memberi impak yang besar kepada pengurusan dan kemajuan jabatan ini. YBrs. Tuan Haji Wan Muhammad Aznan merupakan seorang pegawai yang telah mencurahkan bakti dan khidmatnya kepada Jabatan Perikanan Malaysia sejak tahun 1995 dengan penuh komitmen yang tinggi dan beliau telah menunjukkan kepimpinan yang cemerlang dan sentiasa berusaha memastikan pengurusan dan perkembangan sektor perikanan di Malaysia mencapai tahap yang membanggakan. Selamat bersara kepada Tuan Haji Wan Muhammad Aznan bin Abdullah, Terima kasih di atas segala khidmat bakti dan jasa yang telah dicurahkan. Sesungguhnya, jasa dan bakti Tuan Haji akan sentiasa dikenang dan dihargai. Seluruh warga jabatan mendoakan agar Tuan Haji dan keluarga menikmati kehidupan baru yang penuh kebahagiaan dan kejayaan di masa hadapan. Semoga segala ilmu dan pengalaman yang beliau tinggalkan akan terus menjadi inspirasi kepada generasi akan datang dalam menjaga dan memajukan industri perikanan negara.
Menjunjung Kasih Tuanku!

Menjunjung kasih atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Terengganu Darul Iman Serta Segala Jajahan Takluknya yang sudi mencemar duli merasmikan Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda Terengganu 2024 di perairan Alur Tuman, Marang..Sebanyak 20 unit tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda dilabuhkan pada hari ini merupakan sebahagian daripada 100 unit tukun yang dibina dan dilabuhkan pada tahun ini melalui Program Memperkayakan Sumber Perikanan Marin Negeri Terengganu. Program ini amat penting bagi pengurusan sumber perikanan Negeri Terengganu..Baginda Tuanku Sultan juga melakukan selaman bagi meninjau sendiri tukun kuboid yang telah dilabuhkan sambil diiringi oleh YB. Dr Azman bin Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu..Keberangkatan Baginda dan rombongan diiringi oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, YB. Dato’ Nara Setia, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, YBhg. Dato’ Haji Adnan Bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, serta En. Ruzaidi bin Mamat, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu.
Kunjungan Hormat Delegasi RHB Islamic Bank kepada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi RHB Islamic Bank yang diketuai oleh YBhg Dato’ Adissadikin bin Ali, Pengarah Urusan RHB Islamic Bank, ke Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Malaysia, Putrajaya. Hasrat utama pihak RHB Islamic Bank bagi kunjungan ini adalah untuk sesi suai kenal dan perbincangan mengenai peluang kerjasama dua hala antara kedua-dua pihak. Pihak RHB juga telah memberikan penerangan berkaitan satu inisiatif yang bertujuan untuk menyokong hidupan marin iaitu Ocean Harmony. Pihak jabatan berharap dapat mewujudkan peluang kerjasama dengan Pihak RHB dalam usaha meningkatkan tahap kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan biodiversiti marin dan darat dengan menganjurkan pelbagai program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam yang dapat memberi manfaat kepada semua pihak dan meningkatkan sokongan terhadap pemuliharaan biodiversiti. Hadir sama dalam sesi kunjungan ini ialah YBrs. Dr. Azhar bin Hamzah, Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan, Encik Nazri bin Ishak, Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Strategik, Puan Khazlita Adzim binti Abdol Aziz, Pengarah Bahagian Pengembangan Perikanan, Puan Shamila binti Zainol, Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan, Encik Abdullah bin Jaafar, Pengarah Perikanan Negeri Pahang dan pegawai-pegawai perikanan dari ibu pejabat dan pegawai-pegawai dari RHB Islamic Bank.
Pulau Aman destinasi Eco Tourism di Pulau Pinang

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama strategik Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah menganjurkan Pertandingan Memancing MyKP (Komuniti Perikanan) 2024 yang bertujuan mempromosikan Pulau Aman sebagai destinasi Eco Tourism di Pulau Pinang. Pertandingan memancing ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 150 orang peserta yang terdiri daripada orang awam dan pengawai awam dari pelbagai Agensi Kerajaan. Dalam majlis yang sama, JPA juga menyumbangkan sebanyak lima (5) buah kayak dan sepuluh (10) joran memancing kepada pihak MyKP Pulau Aman. Peralatan tersebut boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan pendapatan komuniti setempat dan menyokong aktiviti pelancongan Pulau Aman. Selain itu, YBhg. Datuk Dr. Anesee bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) bersama-sama YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah, Jabatan Perikanan Malaysia turut melepaskan benih ikan di pesisir pantai Pulau Aman dengan sumbangan daripada pihak DOF, iaitu 1800 ekor ikan siakap, 1000 ekor ikan jenahak, dan 6000 ekor benih udang kaki merah. Hadir sama Puan Khazlita Adzim binti Abdol Aziz Pengarah Bahagian Pengembangan Perikanan, dan Cik Zarina Binti Zainuddin Pengarah Perikanan Negeri Pulau Pinang serta kakitangan Jabatan Perikanan Malaysia.
Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara Dipengerusikan Oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Secara Bersamaan Dengan YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bersama YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara pada pagi ini. Mesyuarat ini membincangkan mengenai fokus sektor pertanian negara bagi memperkukuh jaminan bekalan makanan serta meningkatkan daya saing subsektor agromakanan melalui penggalakan pertanian pintar merentasi semua sektor. Inisiatif ini melibatkan pemerkasaan penerimagunaan teknologi, menarik minat bakat baharu, penyedia teknologi, serta memperluas saiz ladang / ternakan bagi meningkatkan pengeluaran tempatan. Isu keterjaminan makanan memerlukan kerjasama semua pihak, daripada Kerajaan, pengusaha, sektor swasta, akademia, komuniti hingga pengguna. Setiap daripada kita mempunyai peranan penting dalam memastikan bekalan makanan negara sentiasa terjamin. Hadir sama dalam mesyuarat ini, YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Datuk Seri Isham Bin Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Dato’ Haji Adnan Bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, serta pengurusan tertinggi kementerian.
DOF Jalin Kerjasama Tangani Spesies Ikan Asing

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melalui Pejabat Perikanan Wilayah Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan kerjasama RHB Volunteers serta Kumpulan Pemburu Ikan Bandaraya (KPIB) menganjurkan program memburu ikan asing di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil dengan penglibatan 200 sukarelawan. Program memburu ikan asing ini diadakan sebagai salah satu usaha DOF dengan pihak berkaitan bagi bersama-sama mengekang populasi spesies ikan asing invasif dari terus membanjiri perairan umum seterusnya menjejaskan spesies ikan asli dalam ekosistem Sungai Kuyoh di samping membersihkan tebing sungai tersebut.Jumlah pendaratan ikan sepanjang program ini adalah 159.54 kg bagi tilapia dan pleco sahaja. Aktiviti kali ini menunjukkan perkembangan positif dengan penangkapan ikan bandaraya berjaya di kurangkan di 5 stesen inventori. Program ini berjaya mencapai objektifnya dalam kesedaran awam berkaitan ancaman ikan asing dan memelihara ekosistem sungai. Kehadiran spesies ikan asing yang masih wujud di Sungai Kuyoh direkodkan semakin berkurang. Usaha pemuliharaan pelepasan ikan asli seperti ikan puyu tempatan digalakkan untuk kelestarian sumber. Hadir sama pada program ini YBhg. Dato’ Azahari bin Haji Othman, Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur, YBhg. Dato’ Mohd Rashid Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Bandlking Group, YBrs. En. David Chong Ming Liang, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Pn Suhanah Binti Kassiron, Pengarah Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya serta pegawai-pegawai perikanan ibu pejabat.
Kunjungan Hormat Persatuan Nelayan Kawasan Kota Bharu bersama Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia

Ketua Pengarah Perikanan, Dato’ Haji Adnan Hussain berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Nelayan Kawasan Kota Bharu yang diketuai oleh Encik Nik Mohd Kamal bin Husin, Pengerusi Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kota Bharu, ke Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Malaysia, Putrajaya. Sesi ini diadakan bagi membincangkan ancaman dan pengurusan sumber sotong torak (Uroteuthis chinensis) di perairan Negeri Kelantan. Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) akan mengambil tindakan yang sewajarnya melalui kajian sumber sotong torak dan langkah-langkah penguatkuasaan bagi menjamin kelestarian habitat dan populasi sotong torak di perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Hadir sama dalam sesi kunjungan ini adalah Tuan Haji Bakri bin Miswan, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan, Dr. Erniyta binti Osman, Pengarah Perikanan Negeri Kelantan, Encik Ryon Siow, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Kampung Acheh serta pegawai-pegawai perikanan ibu pejabat.
#MAHA2024 Majlis Apresiasi Petugas Laman Agrofood Perikanan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia

Majlis Apresiasi Petugas Laman Agrofood Perikanan sempena MAHA 2024 disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Hj Adnan bin Hussain Ketua Pengarah Perikanan Malaysia yang dihadiri oleh kakitangan jabatan ibupejabat, jabatan perikanan negeri dan usahawan. Majlis Apresiasi bagi meraikan dan menghargai usaha dan sumbangan semua petugas Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam menjayakan Laman Agrofood Perikanan sempena MAHA 2024. Terima kasih kepada semua petugas MAHA 2024.
#MAHA2024 Laman Agrofood Perikanan di Maeps, Serdang

Gambar-gambar sekitar di Laman Agro-Food Perikanan Hari ke 12 Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2024 Terima kasih kepada semua pengunjung Laman Agrofood Perikanan.
#Maha2024 Perasmian 100 Tahun Maha 2024

MAHA edisi 2024 akan memberi penekanan kepada elemen yang mengangkat MAHA ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan daripada pelbagai negara, mencetus pembangunan daya tahan dalam sektor keterjaminan makanan, mengangkat minat golongan muda untuk turut serta dan menjadikan sektor ini sebagai sumber pendapatan utama. Tema MAHA “Menuai Harapan Membina Masa Hadapan”, mencerminkan aspirasi untuk menuai kejayaan di masa hadapan dengan usaha dan inovasi yang kita terokai pada hari ini. Tema ini menekankan kepentingan inovasi dalam memastikan keterjaminan makanan untuk negara. Majlis telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia di Dewan D, MAEPS, Serdang. Turut hadir, YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain Ketua Pengarah Perikanan, YBrs Tuan Haji Wan Muhammad Aznan bin Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) serta pegawai-pegawai Jabatan Perikanan Malaysia.