Official Portal

Department Of Fisheries Malaysia

Ministry Of Agriculture and Food Security

Human Resource Open Day, Department of Fisheries Malaysia

hari terbuka sumber manusia DOF 2025

Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Perikanan Malaysia telah mengadakan hari terbuka sumber manusia yang berlangsung selama 2 hari pada 16 julai 2025 sehingga 17 Julai 2025 bertempat di Dewan Arowana, Wisma Tani. Hari Terbuka ini bertujuan untuk memberi peluang kepada penjawat-penjawat awam yang berkhidmat di Jabatan Perikanan Malaysia untuk membuat semakan Buku Perkhidmatan Kerajaan di samping pelbagai aktiviti-aktiviti lain seperti saringan kesihatan secara percuma, Fitter Healthier Happier, dan slot ceramah. Turut disediakan reruai Pusat Pungutan Zakat, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Proton Malaysia dan Bahagian Pembangunan Modal Insan. Hadir dalam program ini YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan YBrs. Puan Yeo Moi Eim Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) serta kakitangan Jabatan Perikanan Malaysia.

Working Visit by Director General of Fisheries to GST Group Cage Fish Farming Project

LAWATAN KERJA KETUA PENGARAH PERIKANAN KE PROJEK TERNAKAN IKAN SANGKAR GST GROUP

YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia telah mengadakan lawatan kerja ke Projek Penternakan Ikan Sangkar milik Dato’ Goh Cheng Liang, yang diusahakan melalui Oceanic Aquaculture Venture Sdn. Bhd terletak di Pulau Jerejak. Projek ini telah beroperasi sejak tahun 2013 dan kini mengusahakan lebih daripada 320 sangkar, dengan fokus kepada ternakan ikan siakap, kerapu dan bawal. Syarikat ini diiktiraf oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) serta memiliki Sijil Kualiti Ikan (FQC), dan sedang dalam proses memperoleh pensijilan ASC (Aquaculture Stewardship Council) bersama WWF. Dalam lawatan ini, Ketua Pengarah Perikanan turut menekankan kepentingan projek akuakultur yang mengambil kira aspek sosioekonomi, kemudahan infrastruktur dan akses pasaran, seiring dengan usaha memajukan industri akuakultur negara. Turut hadir Puan Zarina binti Zainuddin, Pengarah Perikanan Negeri Pulau Pinang serta pegawai perikanan negeri

Program Kesedaran Spesies Ikan Asing dan Pertandingan Moh! Tangkap Baung Ekor Merah

PROGRAM KESEDARAN SPESIES IKAN ASING DAN PERTANDINGAN MOH! TANGKAP BAUNG EKOR MERAH

Program Kesedaran Spesies Ikan Asing dan Pertandingan “Moh! Tangkap Baung Ekor Merah” anjuran Jabatan Perikanan Negeri Pahang hari ini telah berlangsung di Pekan Riverfront, Pahang. Program ini merupakan antara inisiatif berterusan Jabatan dalam usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai ancaman spesies ikan asing invasif terhadap ekosistem perairan darat negara. Majlis Perasmian Penutupan program telah disempurnakan oleh YB Dato’ Mohd Sharim Haji Md Zain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, dengan kehadiran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain. Menurut Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Malaysia memiliki lebih 449 spesies ikan air tawar tempatan, antaranya ikan kelah, temoleh, sebarau dan baung sungai yang penting dari aspek ekologi dan ekonomi. Namun begitu, kehadiran spesies asing invasif seperti ikan peacock bass, keli Afrika, baung ekor merah, dan ikan bandaraya kini mengancam kelestarian biodiversiti ini. “Spesies asing ini bersifat agresif, membiak dengan cepat dan mampu menyingkirkan spesies tempatan melalui persaingan makanan dan habitat. Sejak tahun 2022, Jabatan Perikanan telah melaksanakan 17 siri aktiviti memburu ikan asing dan berjaya mengeluarkan lebih 4.4 tan metrik spesies invasif dari perairan negara,” jelas beliau. Program pada kali ini turut menyaksikan penyertaan komuniti tempatan dan pemancing dari seluruh negara dalam aktiviti menangkap spesies invasif, khususnya baung ekor merah (Hemibagrus wyckioides), iaitu spesies dari Sungai Mekong yang kini semakin berleluasa di sungai-sungai tempatan. Dalam majlis yang sama, Jabatan turut menyampaikan bantuan Geran Pemadanan bernilai RM331,400 di bawah Program Pembangunan Integrasi Akuakultur (PPIA) kepada tiga peserta utama Kluster Rizqi di Kampung Peramu, Pekan serta Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) berjumlah RM66,000 kepada 22 orang nelayan darat daerah ini. Turut hadir dalam program ini En. Ruzaidi bin Mamat Pengarah Kanan Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan, En. Abdullah bin Jaafar Pengarah Kanan Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan, En. Roslan bin Abu Hasan Pengarah Perikanan Negeri Pahang dan Kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Pahang.

Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024

MAJLIS PELUNCURAN LAPORAN INTERIM BANCI PERTANIAN 2024

YBhg. Dato’ Haji Adnan bib Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, telah menghadiri majlis peluncuran laporan interim banci pertanian 2024 yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bertempat di MAEPS, Serdang, Selangor. Banci Pertanian 2024 yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bertujuan untuk mendapatkan data asas yang komprehensif bagi sektorpertanian. Bagi sektor akuakultur melibatkan penternakan ikan, udang, kerang-kerangan, dan rumpai laut di kawasan air tawar, payau serta laut. Banci Pertanian 2024 menunjukkan jumlah pengeluaran keseluruhan bagi ikan marin dan ikan air tawar adalah sebanyak 484.3 ribu tan metrik manakala bagi baka dan benih ikan serta ikan hiasan adalah 6.5 bilion ekor. Hadir bersama ke majlis ini adalah YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Bin Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci Pertanian.

🎓 Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-13 Tahun 2025

Majlis Konvokesyen Pertanian

Seramai 784 graduan telah menerima sijil dan diploma pada Majlis Konvokesyen Pertanian bagi tahun 2025 yang telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) hari ini. Majlis konvokesyen ini adalah untuk meraikan para pelatih tahun 2024 yang telah menamatkan pengajian di Institut Latihan TVET Pertanian (ILTP) Bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Bagi sub sektor perikanan seramai 12 orang graduan Sijil Perikanan telah menamatkan pengajian di Akademi Perikanan Malaysia dengan jayanya. Dalam majlis ini saudara Muhamad Ajmal bin Azri telah menerima Anugerah Ketua Pengarah Perikanan yang disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Turut hadir dalam majlis ini YBrs. Puan Yeo Moi Eim Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan),dan Puan Shamila binti Zainol Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan. Tahniah dan selamat maju jaya!

Kunjungan Hormat Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Ke Jabatan Perikanan Malaysia

delegasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Jabatan Perikanan Malaysia telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang diketuai YBrs. Prof. Madya Dr. Seri Intan Mokhtar, Dekan Fakulti Industri Asas Tani di Jabatan Perikanan Malaysia, Wisma Tani hari ini. Kunjungan ini bertujuan untuk membincangkan potensi kerjasama aktiviti yang boleh dilaksanakan secara bersama serta cadangan untuk mewujudkan Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak. Kerjasama yang bakal terjalin ini dijangka membawa manfaat besar kepada kedua-dua pihak, terutama dalam memperkukuh usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menyokong pertumbuhan mampan sektor perikanan di Malaysia. Melalui pemeteraian MoU ini kelak, hubungan antara Jabatan Perikanan Malaysia dan UMK dijangka dapat mencipta sinergi yang lebih baik dalam menghadapi cabaran masa depan, terutamanya dalam aspek pemeliharaan sumber marin dan pembangunan teknologi perikanan. Perbincangan ini dipengerusikan oleh YBrs. Puan Yeo Moi Eim, TImbalan Ketua Pengarah Perikanan Pengurusan serta dihadiri oleh En Ruzaidi Bin Mamat, Pengarah Kanan Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan, Pn Shamila Binti Zainol, Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan serta pegawai-pegawai perikanan ibu pejabat.

Majlis Penyerahan Bot Peronda Laju Baharu Jabatan Perikanan Malaysia

penyerahan bot melaka

YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia telah hadir ke Pangkalan Perlindungan Sumber Bandar Hilir, Melaka bagi menyempurnakan majlis penyerahan sebuah bot peronda 10 meter baharu untuk Jabatan Perikanan Malaysia. Jabatan Perikanan Malaysia terus komited memastikan perairan taman laut kekal selamat dan bebas daripada aktiviti perikanan haram. Penyerahan bot penguatkuasaan terkini kepada Cawangan Sumber Perikanan Tangkapan Dan Konservasi & Perlindungan Perikanan Negeri Melaka merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh rondaan, pemantauan dan kawalan aktiviti perikanan di Taman Laut Melaka. Seterusnya, Ketua Pengarah Perikanan melawat ke Pusat Informasi Pulau Besar Melaka dan diberi penerangan oleh YBrs. En Hairulzamani bin Othman Pengurus Kanan Perancangan Perindustrian Perbadanan Melaka tentang industri pelancongan dan peluang mengadakan kerjasama antara Jabatan Perikanan Malaysia bersama Perbadanan Melaka di Pulau ini. Turut hadir YBrs, En Abdullah bin Jaafar Pengarah Kanan Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan, YBrs. En. Nawar bin A Karim, Ketua Cawangan Sumber Perikanan Tangkapan dan Konservasi & Perlindungan Perikanan Negeri Melaka dan Kakitangan Jabatan Perikanan Malaysia.

Majlis Aspresiasi Jabatan Perikanan Malaysia 2025

YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, telah menyempurnakan Majlis Aspresiasi Jabatan Perikanan Malaysia 2025 di Sama-Sama KLIA Hotel, Sepang. Majlis ini diadakan bagi meraikan kejayaan 187 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2024 atas komitmen mereka dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan dan 51 pesara serta bakal pesara tahun 2025 yang telah mencurahkan bakti serta sumbangan kepada jabatan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Turut hadir dalam majlis ini, YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, YBrs. Dr. Azhar bin Hamzah, Pengarah Kanan Institut Penyelidikan Perikanan bersama Pengarah-pengarah bahagian dan Pengarah Perikanan Negeri. Sekalung tahniah kepada penerima APC dan selamat bersara kepada yang telah dan bakal bersara pada tahun ini.

Kunjungan Hormat Institut Maritim Malaysia (MIMA) ke Jabatan Perikanan Malaysia

Kunjungan Hormat Institut Maritim Malaysia (MIMA) ke Jabatan Perikanan Malaysia

Jabatan Perikanan Malaysia telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Institut Maritim Malaysia (MIMA) yang diketuai YBhg. Dato’ Mohamed Suffian Awang, Pengerusi MIMA di Jabatan Perikanan Malaysia, Wisma Tani hari ini bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan senario perikanan di Malaysia. Antara perkara-perkara yang dibincangkan meliputi aspek pengurusan sumber perikanan, kelestarian marin, dan isu-isu semasa yang melibatkan komuniti nelayan dan pemilik kapal perikanan, serta keselamatan makan. Perbincangan ini dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan serta dihadiri oleh Dr. Azhar Bin Hamzah, Pengarah Kanan Institut Penyelidikan Perikanan, En Ruzaidi Bin Mamat, Pengarah Kanan Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan, serta pegawai-pegawai perikanan ibu pejabat.

Program Pelepasan Anak Penyu

pelepasan anak penyu

YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, telah menyempurnakan Program Pelepasan 250 ekor anak Penyu Agar di Pantai Pasir Panjang, Pulau Redang. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dalam memelihara spesies penyu yang semakin terancam di Malaysia dan bukan sahaja bertujuan memulihkan populasi penyu di perairan negara, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemeliharaan spesies terancam dan keperluan melindungi alam sekitar. Turut hadir sama dalam program ini, YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Encik Pang Anak Nyukang, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu serta pegawai-pegawai perikanan negeri dan ibu pejabat.

FishComm Hotline